Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron merasa berbangga apabila Melaka diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka antarabangsa.

Beliau berkata ini kerana penerbit buku pengembaraan terbesar dunia Lonely Planet meletakkan Melaka sebagai antara 10 destinasi terbaik pelancongan dunia di Asia pada 2017.

Beliau berkata dengan kejayaan tersebut, kerajaan negeri memberi pengiktirafan kepada Tourism Melaka dan agensi berkaitan atas usaha yang dilakukan bagi mempromosi negeri ini ke peringkat antarabangsa.

"Kita rasa bangga kerana telah diangkat setaraf dengan bandar pelancongan dunia lain seperti bandar raya Gungzhou di China, Takayama (Jepun), Raja Ampat (Indonesia) dan lain-lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata dengan pengiktirafan tersebut juga, Melaka kini setaraf dengan bandar pelancongan lain.

"Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga telah meletakkan Melaka sebagai destinasi kedua pelancongan negara," katanya.





MELAKA-PELANCONGAN 2 (AKHIR) MELAKA



Idris berkata selain Lonely Planet, nama Melaka turut disebut sebagai destinasi pelacongan dunia oleh beberapa agensi seperti akhbar New York Times, laman blog pelancongan dan tripadvisor.com.

Beliau berkata pada peringkat awal mempromosi Melaka, kerajaan negeri telah menerima beberapa tuduhan liar oleh pihak tertentu yang mempersoalkan usaha yang dilakukan sebelum ini, namun akhirnya kerajaan negeri berjaya menarik minat dunia luar untuk datang ke Melaka.

Beliau menolak tular yang tersebar di laman sosial bahawa taraf kebersihan negeri ini telah menurun sebaliknya berkata Melaka masih menjadi negeri terbersih dan terindah di negara ini.

"Dakwaan dan tuduhan tersebut tidak benar sama sekali. Sehingga hari ini saya belum jumpa mana-mana laporan daripada agensi pengukur yang membuat laporan sedemikian," katanya.

Sementara itu Idris berkata kerajaan negeri Melaka merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Negeri Sembilan atas kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Datuk Ishak Ismail akibat serangan jantung di Kuala Pilah malam tadi.

Beliau berkata Allyarham merupakan seorang tokoh politik yang cukup menarik dan banyak menyumbang jasa kepada politik di Negeri Sembilan dan juga kepada tanah air.

"Pemergian Allyarham adalah satu kehilangan besar buat negara dan beliau terkenal sebagai seorang yang berpengalaman dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan serta pentadbiran pengurusan organisasi sebelum menceburi dunia politik,"katanya.

-- BERNAMA