Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan meningkatkan bantuan subsidi upah kepada majikan yang ketika ini ditetapkan pada kadar 11 peratus.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, langkah itu dapat mengurangkan lagi risiko pemberhentian pekerja dalam syarikat.

"MEF merasakan subsidi upah itu sebenarnya harus dipertingkatkan lagi kerana jumlah diberikan adalah 11 peratus sahaja daripada gaji di sektor swasta. Kalau kita lihat di negara-negara yang telah memberikan subsidi upah, mereka memberikan sehingga 80 peratus sebenarnya daripada gaji. Namun yang kita berikan hanya 11 peratus sahaja," katanya semasa dihubungi Astro AWANI melalui Skype pada Sabtu.

Jelasnya, kebanyakan mereka yang diberhentikan kerja ketika ini adalah melibatkan pekerja pengurusan, profesional dan bahagian teknikal.

Justeru katanya, kerajaan diharap akan dapat menimbang cadangan berkenaan demi kebaikan pekerja dan majikan.

"Kalau ia ditingkat kepada yang tinggi lagi dan masanya itu dipanjangkan, saya rasa kita akan dapat mengurangkan mereka diberhentikan. Mereka yang diberhentikan ialah dari kategori pengurusan, profesional dan mereka di bahagian teknikal.

"Jadi mereka ini adalah mendapat gaji lebih RM4,000. Mereka yang dikategorikan bawah RM4,000 agak selamat sebab ada program Program Subsidi Upah (PSU)," ujarnya lagi.