Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang baru-baru ini selamat menjalani pembedahan jantung telah dimasukkan semula ke hospital selepas dikesan mempunyai terlalu banyak kahak.

Sumber terdekat berkata Aminuddin dimasukkan semula ke Hospital Serdang, Selangor pada Selasa malam untuk pemantauan doktor.

"Keadaan beliau sihat cumanya beliau mempunyai terlalu banyak kahak. Beliau telah pergi mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada Selasa malam (6 Nov) namun diminta mendapatkan rawatan dan pemantauan doktor di Hospital Serdang, Selangor.

"Doktor menasihatkan Menteri Besar supaya banyak berehat. Ini mungkin kerana selepas beliau dibenarkan pulang (5 Nov-Isnin lepas), ramai yang mengambil peluang untuk menziarahnya. Disebabkan itu mungkin beliau kurang rehat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 29 Okt lepas, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PKR negeri dimasukkan ke Hospital Serdang untuk pembedahan jantung.

Dalam pada itu, sumber menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kemasukkan semula Aminuddin ke Hospital Serdang adalah disebabkan jangkitan kuman.

"Doakan Menteri Besar cepat sembuh," katanya.