Mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui dalam keadaan berulat di sebuah kawasan flat terbengkalai di Sungai Pari di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan oleh orang awam kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat yang telah membengkak dan berulat, lelaki itu dipercayai telah mati dalam tempoh empat atau lima hari.

"Tidak jauh dari sisi mayat tersebut telah dijumpai dompet dan selepas diperiksa ia milik seorang lelaki Cina berusia 50 tahun, di samping kad OKU mental.

"Identiti belum boleh disahkan sehingga keluarga dapat dihubungi," katanya di sini.

Asmadi berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan luaran melainkan kesan mayat membengkak.

"Patologist telah dihubungi dan bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui sebab-sebab kematian," ujarnya.

Menurutnya, klasifikasi awal kes adalah sebagai mati mengejut sehingga mendapat laporan bedah siasat.

"Kawasan kejadian merupa flat terbengkalai yang juga 'port' penagihan dadah," kata beliau.