Satu lagi mayat mangsa kejadian bot terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin di sini, malam tadi, ditemukan pagi ini.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Ahmad Syafiq Che Alim, 30, pada jam 7 pagi tadi.

Ini menjadikan keseluruhan lima mangsa yang maut ditemukan sejak kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata mangsa terbabit ditemukan dalam sebuah bilik di dalam bot berkenaan.

"Pasukan SAR mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan mayat kerana ruangan yang sempit serta banyak tali berada dalam bilik berkenaan.

"Bot berkenaan kini hanyut sejauh 18 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin berbanding kali pertama dilaporkan berada pada 12.6 batu nautika," katanya kepada pemberita di Jeti Projek Pemasaran Ikan di Kuala Kemasin di sini, hari ini.

Terdahulu, bot pasukan SAR yang membawa mayat Ahmad Syafiq tiba di jeti berkenaan pukul 2.15 petang ini.

BACA: 4 maut, 4 lagi hilang selepas bot bawa pemancing terbalik di Bachok

BACA: Sejam berpaut di bot, pelampung pukat ikan

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam berkata pihaknya memutuskan untuk menunda bot tersebut ke Muara Kemasin bagi memudahkan operasi mencari mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di dalam bot.

"Langkah ini terpaksa diambil kerana bot berkenaan semakin hanyut ke tengah laut dan berkemungkinan akan tenggelam sepenuhnya jika tiada tindakan pantas diambil.

"Walaupun bot berkenaan sedang ditunda dan dijangka tiba di Muara Kemasin pada lewat petang ini namun APMM masih melakukan operasi SAR di sektor-sektor yang telah ditetapkan menggunakan tiga bot dan sebuah pesawat jenis Bombardier," katanya.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham Ahmad Syafiq, Ghaniah Deraman, 62, tidak dapat menahan kesedihan ketika melakukan proses pengecaman mayat.

"Saya tok leh kecek (saya tidak dapat bercakap). Betul dah (Ahmad Syafiq), dia pakai baju putih," katanya.

Semalam, bot dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Pengkalan Kuala Kemasin dalam kejadian pukul 8 malam itu.

Lima daripada mereka ditemukan lemas, tiga lagi masih hilang manakala 12 pemancing lagi disahkan selamat yang kesemua mereka berusia 18 sehingga 60 tahun.

Selain Ahmad Syafiq, mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Syahrizan Daud, 40-an; Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19; Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Tiga lagi mangsa yang belum ditemukan dikenali sebagai Arman Ismail, 43; Harun Daud, 60-an dan Che Wadi Bakar, 40-an.