Mayat kanak-kanak lelaki berumur enam tahun yang lemas ketika mandi-manda bersama keluarga dan rakannya di Sungai Perak pasda Selasa petang, ditemui pagi ini.

Mayat Mohd Danish Irfan Mohd Baharudin ditemui orang awam pada 10.08 pagi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung kira-kira empat kilometer daripada lokasi dia dipercayai hanyut.

“Mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Operasi SAR kanak-kanak lemas di Sungai Perak diperluas 7km

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan semula jam 8 pagi ini yang melibatkan 35 anggota dari pelbagai agensi seperti bomba, polis dan pertahanan awam dengan bantuan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Selasa, Mohd Danish Irfan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda bersama keluarga dan rakan berhampiran Kampung Loh Karai, Sungai Siput.