Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya daripada Britain, Theresa May memperkukuhkan lagi hubungan akrab antara Malaysia dan United Kingdom yang terjalin sekian lama sejak kemerdekaan Malaysia 60 tahun lepas.

Dalam kenyataan dikeluarkan selepas pertemuan mereka di Pejabat Perdana Menteri UK di 10, Downing Street di sini Khamis, Najib berkata, "Di samping berkongsi nilai dan sejarah kami, UK sedang memperkukuhkan hubungan baharu dengan sahabat dan rakan kongsi di seluruh dunia setelah negara itu keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

"Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk menambah nilai, lokasinya yang strategik di tengah-tengah Asia Tenggara dengan hubungan kukuh kepada dunia Muslim dan China," kata Najib.

Pertemuan itu yang diadakan sejurus selepas 5 petang (waktu tempatan), berlangsung selama 40 minit.

"Sebagai sebuah negara yang mengutamakan perdagangan, dengan Bank Dunia baru-baru ini mengiktirafnya sebagai negara menghadapi masa depan 'daripada kedudukan kukuh', Malaysia mengalu-alukan peluang untuk meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dengan UK.

"Saya memberi jaminan kepada Perdana Menteri May bahawa Malaysia akan berbesar hati untuk membincangkan perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara secepat mungkin. Kami tahu bahawa perdagangan antara kedua-dua negara akan memberi manfaat kepada ekonomi dan rakyat kami," katanya.

Najib berkata UK dan Malaysia juga bersatu mengenai keperluan memerangi keganasan dan ektremisme ganas.

"Kami bersedih atas kematian mereka yang terbabit dalam serangan mengejutkan baru-baru ini di UK. Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam memerangi ancaman daripada mereka yang mengkufuri nama Islam dengan secara palsu mendakwa bahawa kekejaman mereka bersifat Islamik.

"Perdana Menteri May dan saya juga membincangkan mengenai krisis kemanusiaan yang dihadapi etnik Rohingya di Myanmar dan kami bersetuju bahawa komuniti antarabangsa perlu bersama-sama mencari penyelesaian untuk menamatkan krisis yang mengejutkan rantau dan dunia itu," katanya.

"Britain dan Malaysia adalah rakan lama. Perbincangan saya dengan Perdana Menteri May mengesahkan keakraban persahabatan kami, dan kami berharap kedua-dua negara bekerjasama untuk menjayakan masa depan yang makmur dan selamat bagi rakyat kami," katanya.

Pada sidang media dengan wartawan Malaysia di perkarangan 10 Downing Street selepas pertemuan itu, Najib berkata mereka telah menyentuh beberapa perkara mengenai hubungan dua hala dan isu antarabangsa.

"Pertama saya telah menyatakan bahawa dalam perancangan UK selepas Brexit, Malaysia sedia untuk menimbangkan apa cadangan mereka untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi khususnya meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia.

"Memandangkan mereka akan keluar EU sudah tentu mereka memerlukan satu formula baharu dari segi hubungan ekonomi dengan dunia, dan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kekuatan tersendiri... dengan kekuatan ini kita sudah tentu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan UK selepas Brexit," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri UK menerima baik cadangan itu dan beliau yakin mereka akan mengadakan perbincangan apabila sampai masanya kelak.

"Perkara kedua hubungan tradisional dengan Malaysia dalam bidang pertahanan, bidang (usaha) memerangi keganasan kita teruskan malah kita akan perkukuhkan lagi dalam aspek-aspek yang boleh bawa kepada kejayaan kita untuk membanteras ancaman keganasan dan juga keganasan ekstremisme dan sebagainya.

"Ada juga perbincangan tentang pesawat tempur pelbagai guna (Eurofighter typhoon multirole combat fighter), Malaysia belum sedia membuat apa-apa keputusan ketika ini.

"Yang ketiga saya juga telah bangkitkan tentang soal Rohingya yang mana Perdana Menteri UK telah menyatakan pendirian bahawa mereka mahu isu ini dapat diselesaikan dan konflik ini tidak berterusan walaupun ada juga cabaran-cabaran.

"Saya juga dapat pengakuan daripada Perdana Menteri UK untuk melakukan bantuan kemanusiaan kepada Rohingya, kalau tak dapat ke Myanmar dan Rakhine tetapi mereka yang sudah lari ke Bangladesh boleh dibantu oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Ditanya tentang perbincangan beliau dengan Perdana Menteri May dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Rumah Putih pada Selasa, Najib berkata: "Ia sangat signifikan kerana kuasa besar mengiktiraf Malaysia dan menerima Malaysia sebagai pelaku global yang signifikan dan kita diambil perhatian apa juga pandangan kita diberi pertimbangan yang serius oleh mereka (Perdana Menteri May dan Presiden Trump)".

Najib tiba di sini petang Khamis dari Washington DC, Amerika Syarikat selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga harinya ke negara itu atas undangan Presiden Trump.

-- BERNAMA