Matlamat Pas bagi melaksanakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 adalah bagi mendidik masyarakat dan bukannya untuk menyeksa.

Menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pelaksanaan RUU 355 itu adalah berlandaskan hukuman takzir iaitu hukuman paling ringan dalam undang-undang Islam berbanding qisas dan hudud.

“Dalam undang-undang sivil, hukuman sebat adalah menyakitkan tetapi dalam (hukuman) takzir ia tidak mencederakan selain bertujuan untuk menimbulkan perasaan malu kepada pesalah.

“Dalam konsep (hukuman) takzir, hukuman bunuh dibenarkan tetapi dengan cara yang baik dan tidak menyeksakan,” kata beliau ketika diwawancara dalam program 100 Hari Malaysia Baharu, hari ini.


Tambahnya, kuasa pengampunan bagi undang-undang takzir diberikan kepada keluarga mangsa dan bukannya pihak lain.

Ujar beliau, undang-undang takzir diperkenalkan melalui RUU 355 akan terus diperjuangkan oleh Pas.

Beliau berkata, undang-undang syariah Islam mempunyai unsur spiritual iaitu tindakan bukan hanya dikenakan untuk dunia tetapi untuk akhirat.

Usul pembentangan pindaan RUU 355 pernah disuarakan di Dewan Rakyat pada 6 April 2017 oleh Abdul Hadi.

Walaubagaimanapun, usul tersebut tidak dibahaskan selepas Speaker Dewan Rakyat lalu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi perbahasan tersebut.