"Saya rasa tak lama lagi Maszlee sendiri akan masuk dalam buku Sejarah," kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai reaksi cadangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya meletakkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam sukatan pelajaran Sejarah.

"Ada masa dan tempatnya kita berpolitik, bukan di sekolah. Jangan peralatkan anak-anak kecil kita, jangan aniaya masa depan mereka," tegas Najib dalam Tweet terbaharu beliau hari ini.

Tweet berkenaan menyusul kenyataan Maszlee bahawa Kementerian Pendidikan akan memastikan skandal 1MDB dimasukkan ke dalam silibus sejarah Malaysia yang baharu sebagai satu usaha memastikan ia dipelajari dan tidak akan diulangi oleh generasi akan datang.

Turut akan dimasukkan dalam sukatan pelajaran itu ialah senarai kes-kes besar khazanah negara yang beliau dakwa disamun oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.



Terdahulu, sewaktu menjawab soalan Hasanudin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Maszlee memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pihak kementerian akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji sukatan pelajaran Sejarah yang diguna pakai di negara ini.

“Untuk makluman dewan, KPM akan menubuhkan jawatankuasa penambahbaikan kurikulum dan buku teks sejarah, dan jawatankuasa ini akan berkerjasama dengan jawatankuasa sedia ada.

“KPM juga akan mengadakan beberapa siri wacana dengan pakar sejarawan bagi mendapatkan perspektif sejarah dengan naratif yang lebih segar dan lebih produktif,” katanya.

Maszlee turut menyeru pihak media agar membantu mengenengahkan pakar-pakar sejarah yang selama ini tidak mendapat liputan sewajarnya dalam usaha memastikan ilmu pengetahuan mereka dapat diguna pakai dalam proses menambah baik sukatan pelajaran sejarah itu.