Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menafikan laporan akhbar bahawa Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Katanya, laporan media itu tidak benar kerana menyatakan penduduk di kedua-dua kampung itu mengadakan kenduri dan aktiviti lain ketika PKP dilaksanakan.

“Terdapat pihak dan media yang memberi gambaran tidak benar tentang apa yang berlaku di kedua-dua kampung ini, dengan mengatakan mereka melakukan kenduri dan sebagainya.

“Ini tidak pernah berlaku. Penduduk kedua-dua kampung tidak pernah mengadakan kenduri sejak PKP dilaksanakan.

"Semenjak PKP, tiada apa-apa kenduri diadakan. Yang ada, orang luar membawa cerita, kemudian ditularkan mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Astro AWANI, hari ini.



BACA: Maszlee mohon penduduk di Simpang Renggam bertenang, ikut arahan pihak berkuasa

BACA: PKPD di Simpang Renggam, Maszlee sebak mengenang nasib rakyat

BACA: Pasar raya, Balai Bomba Ayer Hitam di Simpang Renggam jalani proses nyah cemar

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, punca sebenar penularan COVID-19 di dua kampung dalam kawasan Parlimen beliau itu adalah, penduduk yang pulang dari perhimpunan tabligh di Sri Petaling tidak mengetahui mereka membawa virus tersebut.

“Saya kenal rapat dengan penduduk di dua kawasan ini. Komuniti mereka sangat rapat dan amat menghidupkan masjid dan surau dengan begitu meriah, tetapi difahamkan, ada beberapa ahli qariah dan jemaah masjid yang menghadiri perhimpunan tabligh.

“Mereka tidak mengetahui bahawa mereka positif, dan apabila mereka pulang, masjid memang sentiasa penuh, dan di situlah penularan wabak itu bermula.

"Mereka tidak tahu, sebenarnya, dan kini mereka telah ditempatkan di wad hospital," katanya sambil menyuarakan harapan agar semua pihak berhenti menuding jari kepada penduduk di dua kampung itu.

"Saya amat sedih dan kecewa dengan berita yang tular dan laporan media berkenaan,” kata bekas menteri pendidikan itu.



Dalam masa yang sama, Maszlee juga menyatakan penduduk di kedua-dua kampung itu sangat berdisiplin dengan mematuhi PKP Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan sehingga 9 April ini.

Beliau bagaimanapun menggariskan beberapa isu yang timbul seperti terdapat penduduk kekurangan bekalan barangan harian dan perubatan.

“Namun kedua-dua isu ini saya telah menghubungi pihak berwajib untuk menyelesaikannya dengan secepat mungkin,” ujarnya.