Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung salah guna internet dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk memperkenal aplikasi saringan kendiri ‘Parental Control Tools’ yang dikendalikan oleh ibu bapa.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Mlutimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, adalah menjadi tanggungjawab dalam kalangan masyarakat sendiri untuk mengambil peranan dalam memilih serta membuat pilihan berhubung kandungan yang terdapat di laman sosial.

“Terdapat jutaan aplikasi dalam talian yang dibangunkan seluruh dunia mengikut konteks sosio budaya dan dalam kepelbagaian ini kuasa memilih adalah terletak pada pengguna.

“Sebarang bentuk aplikasi atau kemudahan jika tidak digunakan dengan baik boleh bawa kepada keburukan atau masalah kepada masyarakat dan mesej utamanya adalah penggunaan internet yang positif serta kawal selia kendiri,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berhubung usaha kerajaan membendung aktiviti pornografi dan LGBT di laman sosial.

Menurut Zahidi, sejumlah 125 kertas siasatan telah dibuka pihak MCMC berhubung kandungan lucah dan sebanyak lima kes telah berjaya didakwa bagi tempoh 2018 sehingga 30 Jun 2020.

Selain pendakwaan, tindakan undang-undang seperti penyekatan akses kepada laman web terlibat turut diambil dengan sekatan keatas 2,484 laman pornografi dan usaha ini akan dilakukan secara berterusan.