Masjid Lapan Kubah di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, di sini yang mendapat jolokan sebagai Masjid Russia kerana seni binanya seakan-akan St Basil Cathedral di Moscow, Rusia, menarik perhatian orang ramai.

Berdiri gah di kawasan sawah padi di tengah-tangah kampung itu, masjid yang dicetuskan pembinaannya oleh Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh kira-kira enam tahun lalu kini menjadi antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan penduduk di dalam dan luar negeri.

Timbalan Pengerusi Masjid Lapan Kubah, Wan Ahmad Wan Yaacob, 64, atau lebih dikenali sebagai 'Bilal Edi' berkata keunikan seni bina masjid itu dengan kombinasi warna kubah yang berwarna-warni membuatkan masjid itu yang mula digunakan sejak tahun lepas tidak putus-putus dikunjungi.

"Ada yang sanggup datang dari utara tanah air bukan sekadar untuk melihat malahan dengan niat untuk turut solat di masjid yang menyerupai antara tempat beribadat termasyhur di negara Eropah. Kewujudan masjid ini turut menaikkan nama kampung yang kurang dikenali sebelum ini," katanya yang menjadi bilal di masjid kampung itu sejak 30 tahun lepas kepada Bernama.

Masjid yang dibina dengan kos RM4 juta menerusi derma orang ramai itu sebenarnya bertujuan menggantikan masjid kayu sebelum ini yang berusia lebih 100 tahun dan usang.

"Meskipun belum 100 peratus siap, ia telah digunakan buat pertama kali pada solat sunat Aidilfitri tahun lalu kerana di kampung ini tiada masjid yang boleh menampung jemaah yang ramai pada satu-satu masa.

"Kini hanya lima peratus sahaja lagi bahagian masjid tersebut yang belum siap sepenuhnya iaitu di bahagian kolah tempat berwuduk dan sebahagian bumbung di bahagian depan sahaja yang mana kita memerlukan kira-kira RM50,000 untuk menyempurnakannya," katanya.

Dibina sepenuhnya menggunakan 100 peratus tenaga dan arkitek tempatan, masjid yang dibina di atas tanah bekas tapak sawah padi seluas 0.6 hektar itu boleh menampung 500 jemaah pada satu-satu masa.

"Sebelum ini apabila tiba Hari Raya (Aidilfitri dan Aidiladha) kami risau apabila melihat anak-anak kampung terutama yang merantau pulang ke kampung berasa kecewa apabila tidak dapat menunaikan solat hari raya di masjid kerana masjid lama tidak mampu menampung bilangan jemaah yang ramai," katanya.

Mengulas penerimaan penduduk tempatan mengenai reka bentuk masjid itu, Wan Ahmad berkata beliau bersyukur kerana mendapat reaksi positif daripada kalangan jemaah terutama generasi muda yang menyifatkan ia jalinan antara reka bentuk klasik dan kontemporari sekali gus menarik lebih ramai golongan itu untuk beribadat di masjid unik tersebut.

"Disebabkan masjid ini kini menjadi antara mercu tanda kampung ini, pengurusan masjid turut bercadang membuat satu sudut khas bagi menempatkan info dan bahan yang menampilkan sejarah awal masjid lama sehingga terbinanya masjid baharu ini.

"Terdapat beduk yang digunakan untuk memanggil orang kampung setiap kali waktu solat yang berusia lebih 50 tahun yang akan turut dipamerkan di sudut itu kelak," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, E'ani Basirah Ahmad, 27, dari Perak berkata beliau teruja apabila kali pertama melihat kecantikan masjid tersebut.

"Selalunya masjid yang dibina akan menggunakan seni bina moden tetapi masjid lapan kubah ini menggunakan seni bina Rusia.

"Ianya amat menarik dan pengunjung yang sebelum ini tidak berpeluang untuk melihat masjid seperti ini yang dibina beribu batu di Eropah akhirnya dapat melihatnya di negeri Terengganu," katanya.

-- BERNAMA