Keamanan yang dikecapi negara adalah satu nikmat yang begitu besar, namun ia mungkin tidak disedari segelintir rakyat kerana menganggapnya sebagai perkara biasa.

Itu jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berkata keadaan itu sebenarnya luar biasa kerana ia wujud disebabkan rakyat negara ini tidak bermusuhan sesama sendiri seperti yang berlaku di negara lain.

Sambil memberi contoh situasi yang berlaku di Syria dan Yaman, Dr Mahathir berkata negara Islam itu berdepan keadaan sangat menyedihkan apabila peperangan menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan.

“Kita dalam keadaan aman, tenteram dan tidak rasa apa-apa ketakutan pun kerana kita tahu kita selamat di Malaysia. Sebab itu kita harus bersyukur sepanjang masa kerana kita terselamat.

“Ramai orang Islam hidup dalam keadaan yang tidak tenang kerana peperangan berlaku seperti yang kita lihat di Syria, di Yaman dan banyak tempat lain lagi. Kalau kita melihat nasib buruk mereka, hargai dan bersyukur dengan keamanan yang kita ada di negara kita ini.

“Walaupun dalam negara kita terdapat orang bukan Islam dan macam-macam lagi fahaman yang berlainan, tetapi ia tidaklah sehingga membawa kepada permusuhan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di perkarangan Masjid An-Najah di Ayer Hitam dekat Jitra, Kedah pada Sabtu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim di kawasan Parlimen Jerlun.

Selepas berbuka, Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah kemudian menunaikan solat Maghrib di masjid tersebut sebelum meninggalkan majlis itu.