Isu kemudahan awam di pedalaman Sarawak termasuk di Pakan, Sarikei mendapat perhatian kerajaan negeri.

Buat masa ini kesukaran logistik dihadapi peduduk Pakan, Sarikei untuk ke pekan terdekat kerana jaraknya sejauh 44 kilometer, hanya untuk membeli barangan keperluan asas atau mengeluarkan wang dari mesin transaksi automatik (ATM).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, perkara itu sudah dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

"Saya berbincang dengan ketua residen, pegawai daerah dan polis dalam usaha kita menambah baik situasi itu. Saya dimaklumkan pada mesyuarat pagi tadi bahawa situasi di sana (Pakan) tidaklah terlalu teruk seperti semalam," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Sarawak pada Selasa.

BACA: Tiada mesin ATM berdekatan, warga Pakan hadapi kesukaran sepanjang PKP

Ditanya sama ada pihaknya akan menempatkan bank bergerak sebagai jalan penyelesaian kepada isu itu, Uggah memberitahu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mencari penyelesaian bagi menempatkan lebih banyak kemudahan agen-agen bank di kawasan pedalaman termasuk Pakan.

Bagaimanapun, kata beliau situasi itu hanya berlaku pada waktu tertentu sahaja dan akan mengambil perhatian serius supaya penduduk di pedalaman terima kemudahan sama seperti penduduk di bandar.

"MKN telah berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagaimana hendak menentukan agen-agen bank di kawasan luar bandar ini dengan mengambil kira kewangan di sesuatu kawasan.

"Agen-agen kewangan ini juga akan mengambil kira permintaan masyarakat setempat. Kita akan buat kajian dan untuk jangka masa panjang membentangkannya kepada BNM apa langkah yang boleh dibuat dengan mengambil kira permintaan," katanya.