Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menolak dakwaan kononnya nama Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dikeluarkan daripada senarai individu yang dikenakan kompaun berkaitan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menerusi kenyataan media pada Khamis, Latheefa berkata, senarai penuh mereka yang dikenakan tindakan kompaun belum muktamad (not exhaustive).

"Pendekatan SPRM adalah untuk memberi keutamaan kepada jumlah-jumlah yang lebih besar.

"Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain.

"Suruhanjaya ini akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur serta akan terus mengambil langkah mendapatkan balik wang 1MDB yang merupakan milik rakyat, secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa," katanya.

BACA: 80 individu, entiti terima notis kompaun RM420 juta

Sebelum ini, Latheefa mengesahkan seramai 80 individu dan entiti sudah menerima notis kompaun daripada SPRM berkaitan kes 1MDB .

Jumlah notis kompaun berkaitan kes 1MDB yang membabitkan senarai berkenaan bernilai RM420 juta.