Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju agensi di bawahnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran selama tiga bulan kepada peminjam.

Menterinya, Datuk Abd Latiff Ahmad berkata, penangguhan bayaran balik itu hanya diberikan kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik selama tiga bulan.

Tawaran itu juga, kata beliau, meliputi peminjam yang mendapat kemudahan Pendahuluan Pinjaman Pelajaran.

Sementara, bagi usahawan yang menerima pembiayaan peniagaan Mara pula, jelas Abd Latiff, diberikan peluang menangguhkan bayaran balik selama enam bulan dan hanya layak kepada penerima yang tidak mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan.

Dalam perkembangan yang sama, Abd Latiff berkata, diskaun khas penyewaan premis perniagaan Mara sebanyak 30 peratus turut diberikan kepada semua usahawan yang beroperasi di semua premis agensi berkenaan.

Bagaimanapun, syarat yang dikenakan ialah penyewa mestilah tidak mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan dan perniagaan yang dijalankan adalah terlibat secara langsung dengan penutupan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Para peminjam dan usahawan Mara yang layak dan menepati syarat ditetapikan perlu mengemukakan permohonan untuk penjadualan semula bayaran di pejabat Mara berhampiran bermula 1 April 2020,” kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan.

Kementeriannya, kata Abd Latiff, mengambil inisiatif ini setelah mengambil kira impak kepada pelbagai sektor sama ada dalam dan luar negara sehingga mengakibatkan kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan

Inisiatif ini juga, jelas beliau, sebahagian langkah daripada usaha melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meringankan bebanan rakyat susulan penularan pandemik COVID-19 yang mencetus kebimbangan seluruh dunia ketika ini.