Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Labuan menggagalkan cubaan membawa masuk konsainan grafit bernilai RM107,919.36 dari China tanpa permit import (IP) di Pelabuhan Dermaga dan Merdeka Labuan.

Pengarah MAQIS Labuan Nazrul Azman Mat Rahim berkata pegawai penguatkuasa MAQIS dengan kerjasama pegawai kastam Labuan telah menjalankan pemeriksaan fizikal pada Isnin ke atas beg-beg yang berisi grafit berjumlah 32 kilogram yang dimuatkan di dalam sebuah kontena.

Beliau berkata tindakan menahan konsainan tersebut dibuat selepas pengimport gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan oleh pihak MAQIS.

Katanya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) dan boleh dihukum dibawah seksyen 11(3), akta yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya.

"MAQIS sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan di semua pintu masuk negara dan memperketatkan kawalan bagi memastikan pengguna dan orang awam mematuhi kesemua syarat import sebagaimana yang telah ditetapkan,"katanya.

-- BERNAMA