Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan yang berkuat kuasa tengah malam tadi adalah sebahagian usaha kerajaan untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata ia adalah langkah permulaan ke arah pemansuhan sepenuhnya tol di negara ini.

"Tapi kita kena terima hakikat bahawa oleh kerana skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan juga kedudukan kewangan akibat skandal 1MDB tidak membolehkan kita melaksanakannya dengan segera. Ini yang terus kita berusaha tapi sekarang kita nak pulihkan kedudukan fiskal kita terlebih dahulu.

"Di sini kita tak sebut dengan hapuskan tol motosikal sudah, itulah penamatnya... tidak, kita akan terus berusaha (menghapuskan tol). Sekiranya kedudukan fiskal adalah lebih baik daripada yang kita jangka mungkin ada berita baik lagi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan projek naik taraf lif Perumahan Kastam Bukit Gelugor, di sini pada Selasa.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, 2 November lepas, Lim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 dengan implikasi kewangan kira-kira RM20 juta setahun.

Guan Eng juga yakin kedudukan fiskal negara akan kembali pulih dalam tempoh tiga tahun akan datang dan beliau berharap rakyat bersabar serta memberi kepercayaan kepada kerajaan PH untuk memulihkan ekonomi negara.

"Tentulah kita harus tabah hati seperti yang saya sebut bahawa dalam tiga tahun kita yakin kita dapat pulihkan kedudukan fiskal dan balik ke pangkal jalan untuk memenuhi matlamat dan sasaran menjadi sebuah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi.

"Tapi rakyat mesti berusaha secara bersama, jangan biarkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab untuk pecah-belahkan rakyat dan cuba menutup skandal rasuah," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan menghapuskan tol selepas tempoh tiga tahun tersebut, beliau berkata kerajaan akan berusaha ke arah itu.