Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Ahli Parlimen Pandan tersebut mengumumkan perkara tersebut ketika membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

"Ini adalah ucapan saya yang terakhir dalam dewan ini Yang Dipertua, memandangkan saya tidak akan bertanding dalam PRU akan datang.

"Saya juga ingin meminta maaf sekiranya kritikan pedas saya selama lima tahun yang lepas di dalam dewan mulia ini melukakan hati pihak sebelah sana (Barisan Nasional)," kata Rafizi.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Rafizi dan seorang bekas kerani bank, Johari Mohamad, kerana didapati bersalah membocorkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat pada Mac 2012.

Dalam Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang wakil rakyat akan kehilangan kerusinya jika dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau dikenakan denda minimum RM2,000.