Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) tidak menjangkakan cuaca panas melampau atau ekstrem akan berlaku di Malaysia pada tahun ini.

Keadaan kering atau panas yang berlaku kini masih berada pada tahap biasa.

Ketua pengarahnya, Jailan Simon berkata, mungkin model-model antarabangsa meramalkan suhu bumi lebih panas pada tahun ini.

“Bagi negara Malaysia, kita tak nampak perkara ini akan berlaku, kalau ada pun mungkin akan meningkat antara 0.5 sehingga 1 darjah celsiu sahaja.

“Biasanya suhu panas negara kita yang melampau dikaitkan dengan kejadian El Nino, tetapi tahun ini kita tak meramalkan akan berlaku fenomena itu dan kebanyakan model-model juga tidak meramalkan akan berlaku El Nino pada tahun 2020,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Justeru, METMalaysia tidak menjangkakan akan berlaku suhu yang terlalu panas di Malaysia sehingga mencapai suhu 39 atau 40 darjah Celsius.

Menurut Jailan, suhu yang mencapai sekitar 37 dan 36 darjah Celsius itu adalah suhu yang biasa berlaku di Kedah dan Perlis pada penghujung Februari sehingga awal April.

Pada masa yang sama, walaupun METMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca yang melampau pada tahun ini, langkah berjaga-jaga akan sentiasa diambil dari semasa ke semasa.

“Kita sentiasa memantau keadaan sekiranya berlaku kejadian gelombang haba Jabatan Meteorologi juga akan mengeluarkan nasihat dan amaran-amaran berkaitan perkara perkara ini dan kita akan menguar-uarkannya kepada umum.

“Untuk orang awam dalam keadaan yang biasanya cuaca agak panas dan kurang hujan, kurangkan berada di luar rumah untuk mengelakkan dehidrasi.

“Elakkan juga daripada melakukan pembakaran terbuka supaya kita tidak terperangkap dengan nanti keadaan jerebu,” jelasnya.