Malaysia menerima bantuan peralatan perubatan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usaha menangani COVID-19.

Semua peralatan itu akan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan khususnya barisan hadapan.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, selain bantuan peralatan perubatan yang diterima hari ini, UAE dan Malaysia turut bekerjasama rapat dengan berkongsi maklumat, kepakaran serta strategi untuk memerangi COVID-19.

"Perkongsian ini termasuklah melalui video conference (sidang video) yang diadakan setiap hari melibatkan pasukan petugas khas COVID-19 Wisma Putra dengan kepimpinan tertinggi kerajaan UEA.

"Saya percaya banyak lagi peluang kerjasama antara Malaysia dan UAE dan ini sesuatu yang boleh membuktikan kepada mereka di luar sana bahawa kita bukan sekadar bercakap tetapi sememangnya sesuatu yang boleh diraikan.

"Ia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, ia tidak boleh dibeli dengan retorik ia datang daripada hati," katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya.

Hishammuddin turut berharap agar kerjasama erat ini berupaya membantu kedua-dua negara menangani COVID-19 dengan baik.

Malaysia sebelum ini turut menerima bantuan beralatan perubatan daripada China untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan yang memerangi COVID-19.

Ia melibatkan 100,008 unit Test Kit COVID-19 Nucleic Acid Diagnostic Kit (PCR-Fluorescence Probing), 100,000 topeng muka N95, 500,000 topeng muka tiga lapisan, 50,000 unit Alat Pelindung Diri (PPE) and 200 unit ventilator.