Malaysia menerima sebuah arca Anti Rasuah daripada kerajaan Qatar sebagai Pengiktirafan Khas atas usaha negara memerangi rasuah.

Arca berbentuk telapak tangan yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu merupakan lambang solidariti kerjasama semua negara di dunia dalam memerangi rasuah.

Berlangsung di Dataran Putra Putrajaya, majlis bersejarah itu disempurnakan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani pada petang Jumaat.

Sebagai simbolik menurunkan tirai arca, kedua-dua pemimpin menekan butang pelancaran sebelum Sheikh Tamim Hamad Al Thani menyerahkan plak penghargaan kepada Dr Mahathir.

Arca setinggi 12 meter dengan berat 3.2 tan itu adalah hasil rekaan Iraq, Ahmed Al Bharani.

Ia merupakan arca ketiga selepas Switzerland yang menerimanya pada tahun 2016 dan Austria setahun kemudian.