Kos kerugian keseluruhan bagi kemalangan jalan raya di Malaysia mencecah RM8.6 bilion pada 2015, ujar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, ia melibatkan kemalangan mengakibatkan kematian, cedera parah dan ringan.

"Berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), 1,849 kematian adalah mereka yang berumur 25 tahun ke bawah. Faktor utama yang menyumbang kepada punca kemalangan jalan raya di Malaysia ialah faktor manusia," katanya semasa berucap merasmikan Projek Semakan dan Pembangunan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) 2016 di Putrajaya.

Ujarnya, masyarakat mungkin tidak menyedari impak kepada kemalangan jalan raya di Malaysia.

Beliau berkata, purata kematian yang berlaku di jalan raya adalah 18 orang setiap hari.

"Jumlah kemalangan jalan raya sepanjang 2015 meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 pada tahun sebelumnya. Jumlah kematian juga meningkat kepada 6,706 berbanding 6,674 pada 2014," tambah beliau.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) katanya mencatatkan lebih daripada 300,000 pemandu baru jalan raya.

"Angka ini dijangka akan meningkat setiap tahun. Kebanyakan pemandu baru ini pastinya adalah anak-anak muda yang sudah tamat atau masih belajar," ujarnya.

Justeru, beliau berharap masyarakat memupuk sikap berhemah dan patuh peraturan jalan raya demi keselamatan pengguna.

"Pendekatan keselamatan ini bukan hanya untuk generasi muda, tetapi kepada semua masyarakat umum kerana kemalangan jalan raya adalah sesuatu yang boleh dielakkan," tambahnya.