Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sepanjang 350 kilometer (km) sehingga 31 Disember tahun ini.

Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Ahad berkata kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk melanjutkan tempoh penangguhan projek itu.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menambah, Malaysia dan Singapura juga bersetuju menyambung perbincangan berhubung projek mega itu dalam tempoh terdekat.

Perbincangan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal projek.

Jelas Mohamed Azmin, kabinet telah mengarah beliau untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan bersama kerajaan Singapura berhubung projek mega itu.

Dalam pada itu, Menteri pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan berkata kerajaan Singapura perlu memberi masa yang cukup untuk Malaysia menjelaskan cadangan berhubung penangguhan tersebut.

Selain itu, ia memberi masa kepada kedua-dua negara untuk menilai implikasi daripada perubahan yang dicadangkan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa projek HSR mampu memberikan manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menangguhkan projek HSR sehingga 31 Mei 2020.

Susulan penangguhan tersebut, Malaysia perlu membayar kira-kira 45.1 juta ringgit kepada Singapura.