Keputusan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori merupakan antara isu yang dibincangkan Malaysia dan Singapura pada Selasa, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang dibangkitkan dalam pertemuan bersama Menteri Undang-undang dan Dalam Negeri Singapura K. Shanmugam di Bangunan Parlimen.

"Kita beritahu bahawa ini (keputusan) sedang kita fikirkan hendak hapuskan istilah mati mandatori namun hukuman mati masih ada dan diserahkan kepada hakim untuk mendengar kes sebegini, sebelum diputuskan hukuman mengikut budi bicara mahkamah," katanya kepada pemberita.

Rang undang-undang bagi meminda perkara berkenaan hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada Oktober di Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata perbincangan turut menyentuh mengenai dasar untuk tidak lagi melihat penagih dadah sebagai pesalah jenayah yang perlu dihukum menerusi pelaksanaan 'decriminalisation'.

"Bukan semua yang dalam penjara atas sebab berkaitan dadah dilihat sebagai pesalah. Mungkin mereka ada penyakit dan sebab itu kita putuskan untuk menguruskan soal itu dari sudut kebajikan seperti rawatan dan jika sudah dimulakan, kita perhebatkan," katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata perbincangan dengan Shanmugam turut melibatkan isu kerjasama sempadan negara.

"Saya bangkitkan mengenai isu sempadan terutama untuk mewujudkan sistem, satu border force atau central agency seperti di Singapura. Jadi kita akan bekerjasama dalam soal itu.

"Ini kerana Malaysia sudah membuat keputusan untuk menubuhkan badan (Jawatankuasa Kabinet Kajian Cadangan Penubuhan Badan Tunggal Menjaga Sempadan Negara dan Pintu Masuk Termasuk Pelabuhan), seperti ini yang dikaji di bawah jawatankuasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.

-- BERNAMA