Malaysia menyasarkan kunjungan 60,000 pelancong New Zealand pada tahun depan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020), kempen yang menyasarkan 36 juta pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berada di Auckland pada Khamis bagi mengetuai misi perdagangan pelancongan memaklumkan tawaran dan peluang menarik yang ditawarkan Malaysia kepada pelancong New Zealand.

Beliau berkata Malaysia yang mempunyai pakej lengkap berdasarkan budaya, juadah dan alam semula jadi, sudah pasti menjadi daya penarik kuat kepada pengembara New Zealand yang boleh diakses melalui bahasa, adat dan aspek budaya Melayu.

"New Zealand, seperti Malaysia juga, terdiri daripada pelbagai etnik, yang hidup dalam aman dan harmoni. Kami berharap persamaan dalam hubungan ini menjadi asas dalam mengukuhkan hubungan pelancongan antara satu sama lain," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Tourism Malaysia.

Musa menegaskan Malaysia mengemukakan cadangan nilai wang luar biasa bagi dolar Kiwi, yang akan mendapat nilai pulangan menguntungkan, dan dengan itu menawarkan peluang untuk meningkatkan standard dan jangka masa cuti di Malaysia.

Pada 2018, seramai 50,698 warga New Zealand melawat Malaysia daripada keseluruhan 25.8 juta pelancong antarabangsa yang berkunjung ke negara Asia Tenggara.

Pada masa ini terdapat tujuh penerbangan seminggu yang menawarkan 2,009 tempat duduk dari New Zealand ke Malaysia, menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA