Malaysia melakar kecemerlangan dalam bidang pelancongan kesihatan dan perubatan bagi tiga tahun berturut-turut apabila memenangi Anugerah Destinasi Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Terbaik 2017.

Dikenali sebagai International Medical Travel Journal (IMTJ) Awards 2017, anugerah itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) Sherene Azli pada satu majlis di Opatija, Croatia pada Rabu malam.

Majlis itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pelancongan Perubatan IMTJ, yang berlangsung di Opatija pada Selasa dan Rabu (25 dan 26 April).

Anugerah itu, yang dihakimi 23 hakim dari seluruh dunia, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terkemuka yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan serba canggih dan inovatif.

Ketika dihubungi Bernama, Sherene berkata pihaknya amat gembira kerana sekali lagi diberi pengiktirafan itu.

"Apabila memenanginya tiga tahun berturut-turut, jangkaan pastinya semakin meningkat dan ini memerlukan kami meningkatkan lagi pencapaian dengan menyediakan penjagaan paling berkualiti kepada pelancong perubatan, di samping menenangkan jiwa mereka.

"Setelah mewujudkan kesedaran bahawa Malaysia merupakan opsyen yang berdaya maju sebagai sebuah destinasi pelancongan perubatan, kini kami perlu meningkatkan kesedaran itu ke tahap yang belum pernah dicapai mana-mana pihak. Ini memerlukan kami berusaha dengan lebih tekun," katanya.

Beliau berkata di samping anugerah itu, MHTC juga memenangi anugerah Kluster Pelancongan Kesihatan dan Perubatan Terbaik 2017.

Menurut Sherene, anugerah yang demenangi MHTC untuk julung kalinya itu, merupakan pengikrirafan terhadap pencapaian kluster atau persatuan pelancongan kesihatan dan perubatan yang mempamerkan kualiti luar biasa dalam menyusun, mengurus dan mengemudi organisasi pelancongan perubatan atau kesihatan dan syarikat di bawah naungannya.

"Maknanya, apabila kami mempromosikan Malaysia sebagai destinasi perjalanan bagi tujuan perubatan, kami mahu mereka datang ke Malaysia, menikmati penjagaan kesihatan cara Malaysia dan bergembira dengan layanan Malaysia," katanya sambil menjelaskan bahawa kualiti penjagaan kesihatan di negara ini adalah bertaraf dunia, mudah didapati dan pada kos berpatutan.

Pada majlis penyampaian Anugerah IMTJ 2017 yang julung kali diadakan itu, hospital swasta Malaysia juga memenangi empat anugerah - Hospital Antarabangsa Terbaik 2017 (Sunway Medical Centre), Inisiatif Pemasaran Terbaik (Sunway Medical Centre), Klinik Kesuburan Antarabangsa Terbaik 2017 (TMC Fertility Centre) dan Inisiatif Kualiti Terbaik - Paling Banyak Mendapat Pujian (Sunway Medical Centre).

Anugerah Tahunan Perjalanan Perubatan IMTJ diberi sebagai pengiktirafan terhadap inovasi, kecemerlangan dan amalan terbaik dalam sektor perjalanan dan pelancongan perubatan.

-- BERNAMA