Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu merealisasikan status negara maju sebenarnya menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) .

Namun, beliau mengakui bahawa ia merupakan tugas yang berat, yang memerlukan ketekunan dan sokongan tidak berbelah bahagi oleh sektor awam dan swasta, juga daripada rakyat.

Beliau juga mengingatkan bahawa sikap ambil mudah boleh menjejaskan matlamat 2020 berikutan persaingan sengit dalam menarik pelaburan, selain peraturan perdagangan baharu yang jelas menunjukkan bahawa hanya yang kuat akan berdaya tahan dalam persekitaran ekonomi dunia yang sukar ini.

Meskipun Program Transformasi Kerajaan (GTP) menyumbang 'keputusan besar dan pantas' dalam penyampaian perkhidmatan awam sejak tiga tahun lepas, selain ETP yang mendorong penyertaan sektor swasta dalam ekonomi, banyak lagi cabaran yang perlu ditangani, kata Perdana Menteri.

"Kejayaan ini tidak bermakna kita boleh merasa selesa. Kita harus akur bahawa persaingan untuk meraih pelaburan terbaik dan keinginan untuk berjaya adalah matlamat setiap negara.

"Dengan peraturan yang senantiasa berubah dan perjanjian perdagangan baharu seperti Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), lima tahun yang akan datang ini merupakan satu cabaran yang amat besar. Namun Malaysia boleh menghadapi cabaran ini melalui usaha dan dedikasi yang sama yang telah membawa kejayaan kepada kita sepanjang enam tahun ini," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga memuji usaha sektor awam dan swasta dan gabungan sokongan rakyat dalam merealisasikan matlamat NTP.

"Dengan memanfaatkan langkah-langkah terangkum dan mampan, program di bawah GTP kini berada dalam pelbagai peringkat kemajuan ke arah merealisasikan matlamat diperlukan untuk menuju ambang 2020.

Beliau berkata GTP telah menjadi pemangkin dalam memainkan peranan penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui GTP dan membentuk semula kerjasama sektor awam-swasta melalui ETP.

ETP, melalui Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI), berjaya mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik untuk pertumbuhan perniagaan.

Sektor awam, berganding bahu dengan penggiat sektor swasta terus menyelesaikan sasaran komitmen menerusi pemantauan rapat petunjuk prestasi utama dan pendekatan penyelesaian masalah," katanya.

Selain pertumbuhan 5.0 peratus tahun lepas, satu lagi pencapaian yang patut dipuji ialah kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang walaupun wujud keraguan, 'terbukti tepat pada masanya dalam mewujudkan penampan kewangan untuk negara ketika kejatuhan harga minyak yang menjejaskan tabungan negara, katanya merujuk harga minyak dunia yang merosot ke paras terendah dalam sejarah kepada US$30 setong beberapa bulan lepas.

Harga kini telah meningkat kepada US$45 dengan sentimen keyakinan yang semakin tinggi bahawa lebihan bekalan dunia mungkin berkurangan.

Najib berkata kerajaan juga peka terhadap kebajikan rakyat, terutama kos sara hidup yang meningkat, yang mejurus kepada pelaksanaan beberapa program bantuan kepada rakyat.

Ia termasuk bantuan tunai bersasaran menerusi BR1M (skim bantuan rakyat 1Malaysia), BB1M (Baucar buku 1Malaysia), serta BKAP1M untuk pelajar.