Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap meskipun perkembangan teknologi perlu diterima baik semua pihak, namun ia diharap tidak menjadi alasan nilai kekeluargaan dan masyarakat terhakis.

Beliau berkata demikian sewaktu lawatan rasmi ke ibu pejabat gergasi teknologi Huawei di Beijing, China.

Wan Azizah pada masa yang sama berharap Malaysia dapat menjalinkan kerjasama menang-menang bersama Huawei untuk membangunkan keupayaan teknologi negara.

“Demi perkembangan teknologi, saya berharap penduduk di luar bandar tidak dipinggirkan. Malah setiap pembangunan berkaitan ICT perlu mempunyai nilai nyata,” katanya.

Pertemuan Wan Azizah itu dinyatakan oleh Huawei di laman sesawang syarikat.

Wan Azizah pada masa sama memuji usaha Huawei melatih tenaga profesional tempatan untuk pakar dalam bidang ICT.

Sementara itu Pengerusi Huawei, Liang Hua berkata memodenkan infrastruktur ICT di Malaysia amat penting untuk masa depan negara.

“Strategi Digital Malaysia akan menambahbaik pembangunan ekonomi dan industri Malaysia dan mempromosi perkembangan sosial.

“Huawei bersedia dan sanggup bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk membangunkan pakar ICT secara tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pusat Latihan Global Huawei di Cyberjaya setakat ini berjaya melatih sejumlah 20 ribu pakar ICT di Malaysia dan untuk tahun ini ia bakal menjalin kerjasama dengan 14 universiti tempatan.

Tambah beliau dengan menggunakan teknologi, produk dan penyelesaian seperti 5G, Kecerdasan Buatan (AI), aplikasi 'cloud', data raya dan Bandar Pintar, Huawei akan membantu Malaysia dalam perjalanan digital negara.

Antara topik perbincangan Wan Azizah bersama Hua termasuk pembangunan Bandar Pintar di Malaysia, teknologi dalam penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Huawei menjadikan Malaysia ibu pejabat pasaran serantau dengan pengwujudan 11 pusat perkhidmatan perkongsian, mengupah 2,400 pekerja dengan 1,700 adalah rakyat tempatan.

Sejak lima tahun lepas juga Huawei sudah menaja 86 pelajar cemerlang universiti Malaysia ke China di bawah program masa depan syarikat itu.