Isu orang tidak bernegara ialah masalah kritikal yang memerlukan perhatian antarabangsa kerana boleh memberi impak negatif bukan sahaja kepada negara terbabit bahkan seluruh rantau.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia sendiri berhadapan dengan masalah lambakan orang tidak bernegara (statelessness) dari rantau Asia sejak sekian lama.

"Walaupun kita tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, kita sebaliknya telah menerima sejumlah besar orang tidak bernegara dari rantau Asia, terutamanya dari Myanmar. Dan jumlahnya semakin bertambah.

"Kesannya, kita bukan sahaja terpaksa menanggung beban kewangan sebagai tuan rumah, malahan perlu menangani pelbagai risiko keselamatan dan masalah sosial," katanya dalam ucapan wakil negara tentang orang tidak bernegara di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.


Sungguhpun begitu, menurut Muhyiddin, kerajaan Malaysia tetap komited untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) dalam usaha menangani masalah ini.

Muhyiddin tiba pada hari Ahad dalam lawatan kerja empat hari ke Geneva untuk menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi Berhubung Orang Tanpa Negara yang merupakan salah satu program 70th Session of the Executive Committee (ExCom) of United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR).

Muhyiddin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Filippo Grandi, Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi membincangkan peranan Malaysia dalam menyokong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) serta membincangkan tentang pengurusan pelarian dan pencari suaka di Malaysia.