Malaysia komited dalam menghadapi cabaran transformasi bandar bukan sahaja pada masa kini tetapi juga masa hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, pertumbuhan bandar di peringkat global dijangka meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2050.

"Ini bermakna hampir 70 peratus populasi dunia akan tertumpu di bandar, dan benua Asia merupakan salah satu kawasan yang bakal melihat pertumbuhan pesat.

"Atas sebab itu, kerajaan Malaysia telah berusaha untuk memastikan ekonomi kukuh serta inflasi dan pengangguran berada pada kadar yang rendah," kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif di UN-Habitat Datuk Maimunah Mohd Sharif, dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Forum WUF telah masuk hari kedua dan dijadualkan berlangsung sehingga hari Selasa depan.