Malaysia kini dipandang tinggi oleh dunia sejak pembentukannya 54 tahun lalu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malam tadi.

Katanya, Malaysia yang dahulunya belum dikenali di peta dunia kini dilihat sebagai negara yang berjaya dan diakui oleh pemimpin dunia.

"Bila kita menyambut Hari Malaysia ini, kita boleh melihat bagaimana sebagai sebuah negara 54 tahun dahulu.

"Siapa kenal Malaysia (dahulu)? (Sebuah) negara pertanian, bilangan penduduknya tidak besar. Tetapi hari ini, kita merupakan sebuah negara yang berjaya.

"Sambutan dan penghormatan yang diberikan kepada saya oleh pemimpin-pemimpin dunia, termasuk yang terkini oleh presiden Amerika Syarikat (AS) sendiri (Donald Trump), kerana mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di sini..

Menurut Najib, sebagai negara yang berdaulat, kini mampu menjadi negara pengeksport kapital.

"Sebab itu bila saya berdepan dengan presiden AS, saya membawa apa yang saya anggap sebagai 'value proposition', misalnya, saya kata (memberitahu) bahawa kita nak beli pesawat Boeing daripada AS, termasuk lapan buah Dreamliner (Boeing 787-9 Dreamliners), bukan semata-mata untuk memberi keuntungan kepada AS yang dipusingkan oleh pembangkang, tetapi agar syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mempunyai pesawat yang paling canggih di dunia," katanya.

Najib menjelaskan langkah itu bukan sahaja untuk menggantikan pesawat yang lama dan kerap rosak, tetapi juga bagi menempatkan negara di kedudukan teratas dalam industri penerbangan setanding syarikat penerbangan maju di dunia.

"Takkanlah MAS nak ketinggalan dalam hal ini. Kita nak berada di barisan hadapan supaya kita boleh bawa lebih banyak lagi pelancong ke Malaysia, termasuk ke Sabah.

"Kita nak orang datang lagi ke Sabah sebab Sabah ini indah, Sabah ini sangat menarik, Sabah ini amat berpotensi," katanya.

Najib turut menjelaskan pelaburan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) di AS yang dipersoalkan oleh pembangkang.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan KWSP meningkatkan keuntungan, sekali gus meningkatkan pengagihan dividen kepada pencarum.

"Jadi tak payahlah kita nak dengar pembangkang ini. Bila saya kata bahawa KWSP nak melabur di AS, mereka (pembangkang) kata apa guna kita melabur d AS, patut labur dalam negara.

"Mereka (pembangkang) ini dangkal, bukan cerdik sangat," katanya.

Menurut Najib, KWSP mempunyai dana RM760 bilion yang boleh dilaburkan bukan sahaja di AS, malah di 39 negara lain.

"Keputusan ini bukan dibuat oleh orang politik, tetapi jawatankuasa pelaburan yang buat.

"Sebab itulah hari ini KWSP boleh beri dividen yang amat memuaskan kepada pekerja (pencarum) Malaysia," katanya.

-- BERNAMA