MALAYSIA mendahului senarai 10 negara paling popular di seluruh dunia sebagai destinasi pilihan untuk wanita Muslim melancong dan berbelanja.

Memetik laporan CrescentRating Muslim Women in Travel 2019 yang diterbitkan oleh MasterCard dan CrescentRating, pada tahun 2018, lebih kurang 63 juta wanita Muslim di peringkat global berbelanja lebih daripada AS$80 bilion atau RM335 bilion di seluruh dunia.

Menurut laporan itu, sebanyak 45 peratus daripada pelawat Muslim di peringkat global ialah wanita dan pada tahun lalu sebanyak 28 peratus wanita Muslim direkodkan membuat perjalanan secara berseorangan.

Laporan itu turut menyatakan dua pertiga daripada jumlah tersebut terdiri daripada wanita Islam berusia 40 tahun atau lebih muda sekali gus mereka ini dilihat menjadi pendorong utama dalam industri pelancongan.

“Lebih separuh daripada mereka menggunakan platform media sosial untuk mencari penginapan, logistik dan tempat makan.

"Malaysia mendahului senarai 10 negara paling popular di dunia sebagai destinasi mesra wanita Muslim iaitu berada di hadapan Emiriyah Arab Bersatu, Turki dan Indonesia,” kata laporan itu.

Berdasarkan kepada laporan itu ia menunjukkan bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara yang mesra pelancong Muslim terutamanya wanita sehingga mereka ‘jatuh cinta’ untuk menjadikan negara ini sebagai pilihan hati mereka untuk berbelanja.

Dasar-dasar Islamik yang diterapkan oleh kerajaan sejak sekian lama ternyata membuka mata dunia.

Pelancong Muslim melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang wajib dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan mereka.

Biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan pelbagai agama dan kaum namun ia bukan penghalang untuk pelancong Muslim untuk gembira mengunjungi serta berbelanja di sini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Mohamaddin Ketapi pada Februari lalu menjelaskan sektor pelancongan menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi ketibaan kira-kira 25.8 juta pelancong antarabangsa ke negara ini tahun lalu.

Statistik Motac juga menunjukkan peningkatan tempoh tinggal terutama daripada pasaran Asia Barat (9.7 malam) yang majoritinya adalah pelancong Muslim.