Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan bahawa Malaysia akan menuntut balik semua fi dan bayaran dari Goldman Sachs.

Beliau mengesahkan perkara ini melalui satu wawancara bersama BFM89.9 pada Isnin.

Bayaran dan fi yang dikenakan Goldman Sachs terhadap Malaysia adalah berkenaan dengan pengaturcaraan bon dan sukuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang meraih sebanyak RM24 bilion (US$6 bilion) pada 2012 dan 2013.

BACA: Bagaimana Goldman Sachs terpalit dalam isu 1MDB

Dalam pengaturcaraan itu, Goldman Sachs dibayar RM2.4 bilion (US$600 juta) untuk perkhidmatannya.

Menurut wartawan Wall Street Journal (WSJ) Tom Wright dalam satu wawancara bersama Astro AWANI, bayaran RM2.4 bilion kepada Goldman Sachs dari kerajaan Malaysia, adalah bayaran yang tertinggi yang pernah dibayar kepada mana-mana bank pelaburan di dunia.

Menurut Lim, terdapat dua sebab mengapa Malaysia akan menuntut bayaran dari Goldman Sachs.

Pertama, salah seorang bekas pegawai bank itu telahpun mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang 1MDB, iaitu Tim Leissner, manakala seorang lagi bekas pegawai bank itu, Roger Ng telah ditahan pihak berkuasa Malaysia dan sedang menunggu arahan untuk diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) bagi menghadapi pertuduhan di sana.

Beliau dilaporkan enggan untuk diekstradisi ke AS.

Kedua, ketua pegawai eksekutif bank itu, iaitu David Solomon, telah mengaku bahawa beliau 'kesal' dengan peranan yang dimainkan Goldman Sachs dalam skandal 1MDB ini.

Menurut Lim, "ini menunjukkan bahawa Goldman Sachs terpalit dalam isu ini dan seharusnya tahu bahawa peranan yang dimainkannya dalam skandal 1MDB adalah kritikal".

Lim bagaimanapun tidak menyatakan sebarang garis masa dalam permohonan kerajaan Malaysia untuk menuntut wang dari Goldman Sachs itu.

Sebelum ini, WSJ melaporkan bahawa bekas ketua pegawai eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, pernah berjumpa dengan Jho Low pada 2009 dan 2012.

Pertemuan Blankfein dengan Jho Low adalah kerana pengurusan 1MDB, menurut laporan WSJ tersebut.