Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menerima kujungan hormat delegasi Yayasan MyAQSA di pejabatnya di Putrajaya.

Muhyiddin dalam catatannya di Facebook turut menegaskan, Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa khususnya PBB agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu," katanya.

Dalam pertemuan sejam itu, Muhyiddin menjelaskan, Pengerusi dan Pengasas, MyAQSA Suwardi Yaacob telah memberi penerangan kepadanya berhubung yayasan berkenaan yang ditubuhkan pada 2017.

"Mereka menerangkan tentang penglibatan MyAQSA di peringkat antarabangsa khususnya dalam kes Jenayah Perang Zionis Israel ke atas Palestin di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta perlanggaran Resolusi 2334 PBB.

"Malaysia menerusi MyAQSA merupakan satu-satunya organisasi dari rantau Asia yang berani memfailkan bantahan terhadap kekejaman Zionis Israel di ICC," tulis beliau.

Tambah Muhyiddin, seperti aspirasi yang dibawa MyAQSA, beliau juga mahu melihat Malaysia memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha memperkukuhkan kesatuan masyarakat Palestin dalam mendepani cabaran.