Malaysia akan bekerjasama dengan Turki bagi memperhebatkan lagi industri pertahanan negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata Turki merupakan sebuah negara yang amat dikagumi akan kehebatannya menerusi bidang pertahanan dan Malaysia akan bekerjasama untuk menerokai bidang terbabit dalam meningkatkan aspek pertahanan.

"Turki sememangnya maju dalam industri ini, industri pertahanan mereka bertaraf NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan menerusi kenyataan yang dibuat Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan ke negara itu baru-baru ini, mereka sudi dan bersedia untuk bekerjasama dengan kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang 'Sirih Pulang Ke Gagang' di sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam di sini pada Selasa.

BACA: 'Awak akan jadi ahli politik' - Ramalan guru besar Mat Sabu jadi kenyataan

Katanya antara kerjasama bersama Turki itu termasuk merancang membeli peralatan yang sesuai bagi aset kegunaan di negara ini.

Mohamad Sabu berkata pada peringkat awal ini kerajaan kemungkinan akan meneliti alat-alat pengangkutan dan lain-lain dari negara itu.

BACA: Dr Mahathir pelawa syarikat Turki melabur dalam tiga sektor utama Malaysia

BACA: Kerjasama penting Malaysia - Turki dalam bidang pertahanan - Tun Mahathir

Dalam lawatan yang turut dihadiri Mohamad, Erdogan mengalu-alukan syarikat Malaysia untuk melabur lebih banyak di Turki terutamanya dalam industri pertahanan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkata beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada mempertahankan jawatan atau sebaliknya pada pemilihan parti itu akan datang.

-- BERNAMA