Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi gencatan senjata tatkala wabak COVID-19 melanda dunia.

Sokongan sebulat suara tanpa bantahan 15 anggota UNSC itu dicapai pada persidangan yang berlangsung secara maya di New York pada Rabu.

“Meminta semua pihak berkait konflik bersenjata untuk segera bertindak membantu misi kemanusiaan selama sekurang-kurangnya 90 hari berturut-turut untuk membolehkan penyampaian bantuan kemanusiaan yang selamat, tanpa halangan dan berterusan, memperuntukkan perkhidmatan berkaitan oleh petugas kemanusiaan yang tidak berat sebelah, sesuai dengan prinsip kemanusiaan, berkecuali, tidak memihak dan bebas dalam pengagihan perubatan, seiring undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang pelarian sebagaimana yang termaktub,” memetik draf resolusi dua muka surat itu.

Tempoh 90 hari tersebut bermula pada 1 Julai, hari di mana resolusi tersebut dimeterai.

Bagaimanapun, resolusi itu tidak terpakai bagi operasi menentang Islamic State (IS) di Iraq dan Daesh, Al Qaeda dan Al Nusra Front (ANF).

BACA: 172 negara sokong inisiatif Malaysia, optimis Majlis Keselamatan PBB realisasi gencatan senjata

Ia termasuk individu, kumpulan dan entiti berkait Al Qaeda atau ISIL serta kumpulan pengganas lain yang disenaraikan UNSC.

Ia merupakan kejayaan buat Malaysia apabila mengetuai inisiatif kenyataan bersama menandatangani sokongan gencatan senjata tersebut yang mendapat sokongan 172 negara anggota, negara pemerhati bukan anggota dan pemerhati.

Gesaan tersebut dibuat Setiausaha Agung Pertububan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres sebelum ini yang mana Malaysia menjadi negara pemula bersama kerjasama rakan kongsi merentasi rantau seperti Bangladesh, Ecuador, Mesir, Jamaica, Jepun, Oman, Senegal, Slovenia dan Sweden dalam menggerakkan inisiatif mendapatkan sokongan negara anggota dan pemerhati PBB.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Syed Mohd Hasrin Tengku Hussin dalam temu bual bersama Astro AWANI sebelum ini optimis UNSC akan meluluskan resolusi tersebut.