Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh baharu pengurusan kes membabitkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dituduh menerima hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak dan pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam, Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, bahawa pihaknya memohon tarikh perbicaraan lain bagi memberi peluang anak guamnya untuk mencabar pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan selesai.

Dua permohonan itu adalah melalui semakan kehakiman dan pendengaran rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah.

Terdahulu kes itu dikendaikan Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Hakim Muhammad Jamil menetapkan 2 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes itu selama 16 hari mulai 9 Mac lalu.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terbabit dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur pada 3 Mac dan 29 Jun 2015, jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.