Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan pembebasan pakar obstetrik dan ginekologi, Dr Ting Teck Chin atas pertuduhan menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang juga menantu bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika mendapatkan rawatan gigi pada 2016.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Hadhariah Syed Ismail menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Dr Ting.

Menurut Hakim Hamid tindakan mendakwa pengamal perubatan profesional mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan adalah merupakan suatu penyalahgunaan (proses mahkamah) dan Hakim Mahkamah Sesyen itu secara bijak telah menghentikan penyalahgunaan itu, kata peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Dr Ting, ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.

Beliau berkata pihak pembelaan tidak perlu menjawab hujahan pihak pendakwaan.

-- BERNAMA