Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar terkejut apabila dimaklumkan tentang kes membabitkan pekerja Scomi Engineering Bhd yang didakwa gagal mendapat bayaran gaji sehingga enam bulan.

Beliau yang dihubungi Astro AWANI menjelaskan bahawa beliau telah meneliti isu tersebut dan menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah meneliti sidang media yang dilakukan oleh pekerja Scomi Engineering Bhd pagi tadi dan saya sangat terkejut.

"Sesuatu yang mengejutkan apabila pihak majikan gagal membayar gaji untuk satu tempoh yang agak lama, dan ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pekerja di bawah Seksyen 19.

"Gaji juga seharusnya dibayar mengikut akta ini tidak lebih daripada 7 haribulan. Pekerja tak perlu tunggu sampai tempoh enam bulan untuk buat aduan,” kata Mahfuz.


Malah, menurutnya, selepas meneliti fakta kes, ada beberapa kesalahan lain yang tidak boleh diterima didakwa telah dilakukan syarikat tersebut.

“Yang keduanya, tidak membayar caruman yang dipotong daripada pekerja kepada KWSP dan juga Perkeso, dan ini juga satu kesalahan,” katanya lagi.

Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia tidak berkompromi dalam hal melibatkan penganiayaan terhadap pekerja, sekalipun ia membabitkan syarikat gergasi dan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Beliau juga menegaskan kedua-dua pihak perlu hadir pada 26 November di Jabatan Tenaga Kerja Rawang memandangkan kes ini sudah difailkan di Mahkamah Buruh.

“Saya telah dimaklumkan mereka telahpun membuat aduan di Pejabat JTK Rawang. Jadi 26 haribulan itu adalah satu proses yang akan dibuat mengikut prosedur undang-undang.

"Cuma yang malangnya, Scomi Engineering ini tidak mempunyai kesatuan pekerja. Itu agaknya mereka terpaksa bertindak sendiri. Jadi kita harus lihat apakah sebenarnya halangan yang menyebabkan tidak wujudnya Kesatuan Pekerja di situ,” katanya lagi.