Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) perlu selidik punca sebenar gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak seminggu lalu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas Perdana Menteri, gangguan sistem di lapangan terbang tidak seharusnya berlaku.

“Kita kena selidik kenapa (kita) mengalami breakdown… sepatutnya ia tidak berlaku kerana sistem yang sama telah digunakan di lapangan terbang yang lain dan mereka tidak mengalami masalah seperti kita,” katanya pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, Vietnam pada Rabu.

Meurut Dr Mahathir, walaupun gangguan sistem di KLIA semakin pulih, namun operasinya masih tidak berjalan lancar.

Pada Selasa, MAHB membuat satu laporan polis berhubung gangguan sistem di KLIA sejak Rabu lalu dan polis berkata kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Antara lain, Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Isnin lepas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA mulai Rabu lalu itu disebabkan perbuatan berniat jahat.

Gangguan sistem itu menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Ia turut mengakibatkan ribuan penumpang terkandas termasuk wartawan dan jurukamera Astro AWANI yang sehari suntuk berada di KLIA, gara-gara waktu penerbangan dijadualkan semula sebanyak tiga kali.