Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik keputusan kerajaan agar semua syarikat penerbangan mempamerkan harga muktamad bagi tujuan pengiklanan dan juga sewaktu pembelian tiket bermula 1 Jun ini.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Ma'amor Osman berharap perkara itu tidak lagi ditangguh pelaksanaannya kerana pengguna dapat mempertahankan hak mereka apabila Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2019 (MACPC) berkuat kuasa 1 Jun ini.

Ma'amor menjelaskan caj tersembunyi selalu akan berlaku bila tiba musim perayaan kerana syarikat penerbangan bersaing untuk mendapatkan penumpang.

Beliau juga berharap agar ada kejujuran kepada semua syarikat penerbangan dalam bersaing menawarkan perkhidmatan mereka kepada pengguna.

"Saya harap supaya ada kejujuran dan amanah untuk semua service provider sebab kadang-kadang tu dia menguar-uarkan dialah yang paling murah tetapi ada perkara-perkara yang tersembunyi misalnya dari segi luggage, ada berapa kilo, ada perbedaan.

"Satu lagi apabila berlaku kes mahu menangguhkan tarikh pulang dan sebagainya kalau kita beli tiket penerbangan pergi dan balik, semua perkara-perkara ini mestilah diseragamkan.

"Kalau mereka ini bersaing, bersainglah secara sihat dan tidak menganiaya pengguna," katanya kepada Astro AWANI.

Pada Jumaat, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar mengumumkan kod MACPC yang dipinda baru-baru ini akan mula berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Menurut Kamarudin, mulai 1 Jun pengguna tidak lagi perlu risau tentang caj tersembunyi ketika membeli tiket penerbangan.