Seorang pegawai kanan kerajaan kerugian lebih RM123,000 selepas menjadi mangsa penipuan dalam talian oleh individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, wanita berusia 39 tahun itu beberapa kali menerima panggilan telefon daripada individu berkenaan yang mendakwa dirinya terlibat dengan pengubahan wang haram selain turut mendakwa terdapat waran tangkap terhadapnya.

“Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis membuat panggilan telefon menggunakan beberapa nombor berbeza sejak pertengahan Disember lalu, mendakwa terdapat waran tangkap atas nama pengadu untuk siasatan melibatkan akaun CIMB Bank dan Tabung Haji.

“Pengadu menafikan terlibat dalam kesalahan itu dan diminta mengeluarkan wang untuk tujuan siasatan, sehingga mendorongnya memindahkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank diberikan, berjumlah RM123,486.96, sejak 20 Disember 2019 hingga 3 Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Arshad berkata, setelah dua minggu, mangsa mula berasa curiga dan bertindak menghubungi semula nombor telefon yang diberikan sebelum mendapati nombor itu sudah tidak boleh dihubungi.

“Mangsa rasa diri diperdaya dan bimbang butiran diri disalah guna individu tidak bertanggungjawab.

“Siasatan masih diteruskan dan pihak polis meminta orang ramai agar berhati-hati dan jangan mudah mempercayai panggilan sedemikian,” tambahnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.