Seorang wanita berumur 75 tahun terperangkap dalam penipuan Macau Scam sehingga mengalami kerugian wang simpanan berjumlah RM105,000, kononnya jumlah yang perlu dibayarnya bagi mengelak daripada ditangkap polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata warga emas itu mendakwa ia bermula apabila dia menerima mesej WhatsApp daripada seorang individu yang mengaku sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 24 Dis lalu.

Beliau berkata wanita itu ditipu kononnya waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan dan asetnya akan dibekukan pada bila-bila masa, dan suspek pada mulanya meminta dimasukkan wang RM30,000 ke dalam satu akaun sebagai jaminan tangkapan ditangguhkan.

"Suspek didakwa terus menghantar pesanan WhatsApp meminta lebih banyak wang yang menyebabkan warga emas itu membuat empat lagi transaksi pemindahan wang ke akaun berbeza sehingga jumlah keseluruhannya menjangkau RM105,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Warga emas itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di Alor Setar, Kedah seorang doktor wanita mengalami kerugian hampir RM8,000 selepas terpedaya dengan sindiket 'Parcel Scam' oleh seorang individu yang dikenalinya menerusi laman sosial pada 5 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata kejadian bermula apabila wanita berumur 27 tahun itu dihubungi seorang lelaki pada 14 Jan lepas, memberitahu bahawa dia akan menghantar barangan berharga sebagai tanda perkenalan, dan wanita itu terus memberikan pelbagai butiran peribadinya kepada suspek.

Bagaimanapun pada hari-hari berikutnya wanita itu dikatakan terpaksa membuat pelbagai bayaran, kononnya bagi pelepasan kastam, bungkusan mengandungi wang, mengelak pertuduhan penggubahan wang haram, dan sebagainya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Mohd Rozi berkata selepas menyedari ditipu, wanita itu membuat laporan polis, dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Rozi berkata sepanjang tahun lepas 354 kes jenayah komersial dilaporkan dan 310 daripadanya melibatkan kesalahan penipuan, manakala penipuan 'Parcel Scam' dan 'Love Scam' mencatatkan 25 kes dengan jumlah kerugian berjumlah lebih RM700,000.

"Kita ingin menasihatkan orang ramai yang menggunakan laman sosial supaya lebih berwaspada apabila berkenalan dengan rakan media sosial tidak dikenali. Jika ada sebarang aduan mengenai jenayah penipuan, diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di talian 04-7747222," katanya.

-- BERNAMA