Seorang pekebun kerugian RM72,000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam kononnya dia terlibat dalam kegiatan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 60 tahun mendakwa menerima panggilan daripada seorang wanita pada 24 April lepas.

"Wanita itu mendakwa dirinya adalah pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang yang ingin memeriksa jika mangsa mengenali lelaki bernama Wong.

"Mangsa menafikan perkara itu, namun terus diberitahu namanya berkait dalam jenayah dadah dan pengubahan wang haram," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata wanita itu mengarahkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan, atas alasan sebagai pemeriksaan untuk membuktikan mangsa tidak terlibat.

Mangsa yang menuruti arahan itu, akhirnya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi suspek, menyebabkannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Rabu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksium 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA