Malaysia Airlines Berhad (MAB) bersetuju memberi diskaun 20 peratus tambang penerbangan domestik kepada guru, pensyarah dan pelajar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia hasil perbincangan antara Kerajaan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan MAB.

"Diskaun sebanyak 20 peratus kepada guru peringkat persekolahan dan pensyarah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta bagi perjalanan domestik.

"Tarikh penempahan bermula dari 9 Julai sehingga 10 Ogos untuk tarikh perjalanan dari 10 Julai sehingga 30 November 2020.

"Diskaun boleh diperolehi melalui tempahan atas talian dengan memasukkan kod promo yang akan diumumkan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Diskaun sebanyak 20 peratus kepada pelajar melalui program MH Explorer yang boleh diperolehi dengan menjadi ahli MH Explorer melalui sesawang rasmi Malaysia Airlines.

"Diskaun pelajar ini akan terus dinikmati sehingga 30 November 2020 atau tempoh keahlian tamat mengikut syarat keahlian MH Explorer," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, inisiatif itu dibuat dalam mengurangkan beban para guru, pensyarah dan pelajar yang perlu memulakan pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh terdekat.

Beliau pada masa sama turut berharap supaya syarikat-syarikat penerbangan lain untuk turut serta dalam usaha menurunkan harga tiket penerbangan.