Tindakan pantas seorang pelajar meminta rakan-rakannya melarikan diri berjaya menyelamatkan 115 penghuni Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Lambor Kanan, Seri Iskandar di sini dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 12.50 malam itu disedari apabila pelajar tersebut terlihat api marak dari bahagian bawah bangunan stor yang terletak kira-kira enam meter dari bangunan asrama mereka.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak, ketika tiba di lokasi, anggotanya mendapati penghuni maahad berkenaan telah selamat berada di zon berkumpul.

Katanya, ketika kejadian, ramai penghuni dikatakan masih belum tidur dan mereka dapat bertindak pantas menyelamatkan diri sebelum menghubungi bomba.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan struktur bangunan dan harta benda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar, Penolong Penguasa Bomba Zaiful Efandi Ahmad berkata, pusat tahfiz berkenaan antara yang terpilih bagi penubuhan skuad bomba tahfiz sejak 2017 lalu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, penghuni turut diberikan bimbingan berkaitan langkah keselamatan yang perlu dilakukan sekiranya kebakaran terjadi.

Kebakaran telah memusnahkan bahagian stor simpanan yang memuatkan barangan makanan kering dan peralatan pelajar.

Operasi melibatkan 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar dengan bantuan balai Parit dan Teluk Intan, serta Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan dan Ayer Tawar.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.25 pagi.