Setiap langkah perlu diambil kira semua kesannya. Silap langkah musibah besar bakal menerpa.

Atas sebab itu Sarawak ambil langkah berhati-hati dalam setiap keputusan terutamanya melibatkan isu kepentingan rakyat negeri itu.

Tegas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada pendirian kukuh dalam soal pindaan Perlembagaaan Persekutuan.

"Dalam kita berbincang mengenai perlembagaan, saya seorang yang sangat sabar.

"Ia mestilah dilakukan menerusi langkah yang wajar. Sabar, jangan gopoh kerana kadang-kadang emosi yang akan memberi kesan negatif", kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya pada Seminar dan Pameran 'Sarawak Oil & Gas 2019 (SOGSE) - Now or Never' di Miri pada Ahad.

Abang Johari merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen GPS yang berkecuali dalam proses undi usul Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 9 April lalu.

Beliau pada masa sama menghargai tindakan Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof yang 'bermati-matian' mempertahankan pendirian Sarawak untuk memasukkan perkataan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam pindaan berkenaan.

Tegas Fadillah ia amat mustahak memandangkan MA63 adalah asas kepada pembentukan Malaysia.