Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan filem dokumentari M For Malaysia sebagai sebagai sebuah kisah benar mengenai perjalanan pembentukan Malaysia Baharu.

Kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, ia merupakan filem dokumentari yang adil kerana memaparkan kedua-dua belah pihak.

"Saya fikir filem ini adalah kisah benar yang bukan menceritakan tentang sebelah pihak sahaja.

"Semua perkara tentang saya - mengenai keburukan saya juga diperkatakan. Semua perkara itu berlaku ketika zaman pentadbiran saya.

"Saya fikir ia merupakan pengajaran buat semua pihak dan pentingnya untuk menerima kritikan, sepertimana anda suka dipuji atas apa sahaja anda buat," katanya ketika ditemui selepas gala tayangan M For Malaysia di Golden Screen Cinemas (GSC) Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya mengenai cabaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran besar kerana rakyat sedang memerhati dan menilai semua tindak-tanduk kerajaan.

“Anda tahu, isu utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pada PRU15, ia tidak akan ada rekod (seperti yang berlaku kepada kerajaan terdahulu) dalam tempoh ini.

"Jadi, rakyat akan mahu menilai pencapaian PH, dan ia bukanlah perkara mudah, dan kali kedua bukan sesuatu yang mudah," ujarnya.

BACA: Tun Mahathir hadir tayangan gala 'M For Malaysia'

Dokumentari berdurasi 90 minit itu diarahkan dan diterbitkan oleh Dian Lee dan Ineza Roussile, bersama penerbit eksekutif 'M for Malaysia', Datin Paduka Marina Mahathir.

Dokumentari dengan lagu runut nyanyian Yuna bertajuk ‘Bermula Kita’ akan ditayangkan secara eksklusif di 37 pawagam terpilih di seluruh negara selama empat hari bermula 12 September 2019.