Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred 1 mampu mengelak negara hilang kepakaran ratusan graduan perubatan setiap tahun.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ravindran R. Naidu berkata melalui langkah itu, kira-kira 300 hingga 400 graduan perubatan termasuk yang menjalani persekolahan di luar negara dan menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa dapat menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib dua tahun di Kementerian Kesihatan.

Katanya, ini membolehkan mereka layak mendapatkan sijil pengamal perubatan dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sekaligus mengekalkan modal insan dalam bidang perubatan di negara ini.

"Jika mereka tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib berkenaan, mereka tidak dapat menjadi seorang doktor dan ini akan merugikan negara.

"Mereka (graduan perubatan) tidak boleh bekerja di klinik swasta dan farmasi sekalipun, jika tidak mempunyai sijil pengamal perubatan, jadi adakah mereka perlu menjadi pemandu teksi atau konduktor bas?" katanya kepada Bernama hari ini.

Pada ketika ini nisbah doktor di Malaysia ialah 1:600 pesakit, berbanding sasaran 1:400 menjelang 2020.

Dr Ravindran mengulas keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus BM bagi graduan perubatan itu pada 23 Feb lalu bagi pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

BACA: Kelonggaran syarat lulus BM peringkat SPM mudahkan lantikan pegawai perubatan kontrak gred UD41

BACA: Kelonggaran syarat BM: 'Wujud risiko silap rawat jika doktor tidak faham pesakit'

BACA: Entulu dan Subramaniam akan diminta jelaskan kelonggaran syarat lulus BM


Bagaimanapun, langkah memberikan kelonggaran syarat lulus BM itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang khuatir bahawa bahasa kebangsaan dipandang remeh selain akan timbul masalah komunikasi antara pegawai perubatan dan pesakit kelak.

Mengenai kebimbangan bahawa kelonggaran akan membelakangkan kepentingan BM sebagai bahasa kebangsaan, Dr Ravindran berpendapat itu bukan isu besar kerana graduan berkenaan tetap perlu memenuhi syarat lulus BM di peringkat SPM bagi tujuan pelantikan tetap ke jawatan Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan.

"Jadi isu tidak memartabatkan BM itu tidak timbul," katanya.

Mengenai anggapan masalah komunikasi antara pegawai perubatan dan pesakit, beliau berkata masalah itu tidak timbul kerana graduan perubatan berkenaan merupakan warga Malaysia dan diyakini mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan.

-- BERNAMA